Kaji semula keahlian FPC supaya lebih telus, bebas, gesa Radzi

Kaji semula keahlian FPC supaya lebih telus, bebas, gesa Radzi

Ahli Parlimen Putrajaya berkata, kerangka Jawatankuasa Dasar Fiskal ketika ini 'tiada nilai tambah' kerana dipengerusikan perdana menteri yang turut mengetuai Kabinet.

Radzi Jidin berkata, jika kerajaan serius mahu memastikan Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal memberi kesan besar kepada pengurusan fiskal, Jawatankuasa Dasar Fiskal perlu bebas membuat keputusan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan mengkaji semula keahlian bagi Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) supaya lebih bebas dan telus.

Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, “kerangka” jawatankuasa yang dibentuk ketika ini “tidak ada nilai tambah” kerana dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, serta akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang turut diketuai individu sama.

Selain Anwar, jawatankuasa itu dianggotai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

“Saya khuatir berkaitan pengerusi tak seimbang, akan ulang benda sama, dipengerusikan oleh perdana menteri, di peringkat jawatankuasa, (manakala) di peringkat Kabinet dipengerusikan juga oleh perdana menteri.

“Tak ada nilai tambah di situ, kalau kita betul-betul serius ingin memastikan akta ini memberikan kesan besar kepada pengurusan fiskal, kita beri sedikit kebebasan kepada jawatankuasa buat keputusan,” kata Radzi ketika membahas Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal 2023 (RFA) di Dewan Rakyat.

Justeru, beliau mencadangkan keahlian jawatankuasa itu dikaji semula supaya anggotanya boleh membawa cadangan kepada kerajaan untuk dinilai.

Beliau turut merujuk keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari berhubung kadar dasar semalaman (OPR) diketuai gabenor Bank Negara (BNM) dan pihak lain dalam institusi itu, termasuk dua wakil bebas.

“Apabila kita bercakap mengenai Jawatankuasa Monetari yang ditubuhkan bawah BNM pada 2009, ia mempunyai bidang kuasa luas. Dia boleh buat keputusan berbeza dengan Jawatankuasa FPC, dia boleh usulkan, buat cadangan, menyelia.”

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata walaupun Anwar, Zahid, Fadillah Yusof dan Rafizi menganggotainya namun masih ada menteri lain boleh memberikan pandangan dalam mesyuarat kabinet.

“Kita ingin meneruskan setahun dua, kalau kita ingin ubah , seperti mana yang dicadangkan kita pinda pada tahun depan, untuk sementara akta pertama (RUU RFA), ia akta ibu (jadi) kita teruskan apa yang ada dahulu,” katanya.

Dalam sesi penggulungan itu, Willie Anak Mongin (GPS-Puncak Borneo) mencadangkan agar Sabah dan Sarawak dimasukkan dalam jawatankuasa tersebut bagi semak dan imbang.

Mengulas perkara itu, Ahmad berkata wakil negeri boleh menyertai diperingkat jawatankuasa kecil FPC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.