
Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa berkata ubat-ubat terkawal di bawah Akta Racun 1952 yang berisiko tinggi serta memerlukan penilaian keperluan rawatan, tidak dibenarkan dijual melalui mesin berkenaan, selaras garis panduan dikeluarkan 14 Sept lalu.
“Ubat dalam kategori ini hanya dibenar dibekalkan kepada pesakit oleh pengamal perubatan berdaftar dan ahli farmasi berlesen sahaja,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Iskandar Dzulkarnain (PN-Kuala Kangsar) mengenai garis panduan penjualan ubat tanpa kawalan melalui kios mesin layan diri.
Menurutnya, penjualan produk ubat-ubatan yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 melalui mesin layan diri melanggar Seksyen 21 atau Seksyen 22 Akta Racun 1952, dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Racun 1952.
Pada 22 Ogos lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming mengumumkan kementeriannya akan bekerjasama dengan KKM dalam mewujudkan kios mesin layan diri perubatan di kawasan PPR di seluruh negara.
Katanya, inisiatif itu bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan ubat dan perubatan semasa kecemasan, khususnya ketika lewat malam.