NGO serah petisyen sokong RUU GEG kepada PM

NGO serah petisyen sokong RUU GEG kepada PM

Kumpulan itu mendakwa mereka mewakili 9.2 juta individu yang mahu RUU berkenaan dibentang dan disokong di Parlimen.

Sekumpulan NGO menyerahkan petisyen menyokong RUU GEG kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini. (Gambar Ikram Health)
PETALING JAYA:
Sekumpulan NGO menyerahkan petisyen menyokong Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam, juga dikenali RUU Generasi Penamat (GEG), kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kumpulan itu mendakwa petisyen mereka mewakili suara 9.2 juta orang.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana menerima petisyen kami. Kami menggesa RUU itu dibentang dan disokong (di Dewan Rakyat) segera,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Kumpulan itu merangkumi lima pertubuhan: Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia, Malaysian Green Lung Association, Medical Mythbusters Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan Akademi Profesor Malaysia.

Mereka berkata, RUU itu penting kerana merokok tidak lagi boleh dikawal dengan berkesan bawah peraturan sedia ada kerana kelemahan undang-undang, khasnya dalam mengawal selia rokok elektronik atau vape.

Semalam, media melaporkan bacaan kali kedua RUU itu dan perbahasan di Dewan Rakyat ditangguhkan untuk memberi laluan kepada urusan kerajaan lain.

RUU itu diperkenalkan Julai 2022 oleh menteri kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin, tetapi berdepan tentangan beberapa Ahli Parlimen.

RUU yang disemak itu dibentangkan Jun lalu dan dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa belum mengulas mengenai penangguhan itu.

Undang-undang dicadangkan itu bertujuan mengharamkan penggunaan, pembelian dan penjualan rokok serta produk vape kepada individu lahir selepas 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.