
Ketua Perangkawan, Uzir Mahidin dalam kenyataan berhubung laporan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini berkata pasaran buruh stabil pada Ogos 2023 dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun.
Beliau berkata bilangan tenaga buruh pada tempoh tersebut meningkat 0.1% bulan ke bulan kepada 16.93 juta orang daripada 16.91 juta orang pada Julai, manakala kadar penyertaan tenaga buruh pada Ogos kekal 70.1% seperti pada Julai.
Katanya, bilangan penduduk bekerja pada Ogos lepas naik 0.1% kepada 16.35 juta orang berbanding 16.34 juta orang pada Julai.
Mengenai kedudukan guna tenaga, beliau berkata 75.4% daripada jumlah penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja dan kategori berkenaan meningkat 0.1% dengan merekodkan 12.32 juta orang berbanding 12.31 juta orang pada bulan sebelumnya.
Uzir berkata penduduk bekerja sendiri juga mencatatkan kenaikan iaitu 0.3% pada Ogos kepada 2.97 juta orang berbanding 2.96 juta orang pada Julai.
“Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus menunjukkan trend menaik, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman; dan pengangkutan dan penyimpanan,” katanya.
Menurutnya sektor pembuatan, pertanian, pembinaan serta perlombongan dan pengkuarian turut mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada Ogos.
Beliau berkata situasi pengangguran pada Ogos menunjukkan penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 80% daripada jumlah penganggur.
Katanya, kategori tersebut menurun 0.6% dengan mencatatkan 462,100 orang pada Ogos berbanding 464,700 orang pada Julai.
“Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.4%, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun mencatatkan 6.2%,” katanya.
Beliau berkata mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif merekodkan peningkatan sebanyak 0.6% kepada 115,200 orang daripada 114,500 orang pada Julai.
Uzir berkata komposisi terbesar bagi luar tenaga buruh adalah disebabkan oleh kerja rumah atau tanggungjawab keluarga dengan 42.9%, manakala 40.1 % disebabkan oleh bersekolah atau latihan.
“Kedudukan pasaran buruh negara dijangka berada dalam pertumbuhan sederhana pada bulan-bulan yang akan datang mengambil kira cabaran dalam ekonomi,” katanya.