
Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh, berkata penahanan semua suspek oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih itu dilakukan rentetan tangkapan tiga lelaki warga asing dipercayai tekong darat dalam sebuah kereta berhampiran kawasan kediaman itu hari yang sama.
“Hasil daripada soal siasat terhadap tiga suspek itu, polis membuat serbuan di sebuah rumah sewa dan mendapati seramai 45 lelaki serta lapan wanita warga asing gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri.
“Suspek-suspek ini mengaku ingin keluar dari negara melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dan mereka semua dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Ridhwan berkata pihaknya turut merampas sebuah kereta dan dua unit telefon bimbit dalam tangkapan yang membabitkan suspek berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun itu.
Katanya, semua 53 suspek itu direman 14 hari manakala tiga tekong darat tersebut ditahan 28 hari bermula tarikh tangkap.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.