16 berjudi sabung ayam ditahan

16 berjudi sabung ayam ditahan

Polis berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada 16 lelaki itu positif methamphetamine.

Polis turut merampas lapan ayam jantan, gelanggang dan peralatan serta wang tunai berjumlah RM5,473 dipercayai digunakan bagi kegiatan itu. (Gambar Facebook)
KOTA TINGGI:
Polis menahan 13 lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing disyaki terlibat kegiatan judi sabung ayam dalam operasi di kawasan Felda Tunggal, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kota Tinggi, Nik Azaham Nik Aziz, berkata mereka yang berumur 25 hingga 60 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari.

Beliau berkata, turut dirampas lapan ekor ayam jantan, gelanggang dan peralatan serta wang tunai berjumlah RM5,473 dipercayai digunakan bagi kegiatan itu.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32 (1) (a) dan 32 (2) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 25 (1) (n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Beliau berkata semuanya direman tiga hari hingga Rabu ini.

“Kita beri amaran dan akan mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu terlibat kegiatan itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.