Polis cadang skim permulaan konstabel selaras gaji minimum

Polis cadang skim permulaan konstabel selaras gaji minimum

Kenaikan 30% daripada kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) atau pemberian satu KGT secara 'one-off' kepada semua peringkat skim gaji polis turut dicadangkan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata cadangan itu dibuat selepas mengambil kira kenaikan kos sara hidup, khasnya buat anggota polis pangkat rendah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis mencadangkan skim gaji permulaan bagi konstabel diselaraskan daripada RM1,441 kepada kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam itu dibuat selepas mengambil kira kenaikan kos sara hidup, khasnya buat anggota polis pangkat rendah.

Katanya, kenaikan 30% daripada kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) atau pemberian satu KGT secara “one-off” kepada semua peringkat skim gaji polis turut dicadangkan.

“Kadar Bantuan Sara Hidup (Cola) yang diterima pegawai dan anggota berbeza mengikut kategori, iaitu bandar, pinggir bandar dan luar bandar, masing-masing RM300 bagi pegawai dan anggota pangkat rendah di kawasan bandar.

“Manakala RM200 dan RM250 bagi pegawai dan anggota di pinggir bandar; sementara RM100 dan RM150 bagi pegawai dan anggota bertugas di luar bandar,” katanya menurut Harian Metro selepas menyempurnakan majlis Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, Perak.

Julai lalu, polis dilaporkan sedang mengkaji semula tangga gaji pegawai dan anggota yang masih di peringkat perbincangan bersama ketua pengarah perkhidmatan awam dalam usaha meningkatkan tahap integriti pasukan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.