
Satu sumber dari firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) mengesahkan perkara itu kepada FMT.
Rosli Dahlan adalah peguam mewakili presiden Bersatu dan bekas perdana menteri itu.
“Ya, firma kami diserbu pegawai SPRM pada pagi tadi, tetapi saya tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut,” kata sumber itu.
Sementara itu, satu lagi sumber mendakwa lebih 10 pegawai SPRM menyerbu pejabat firma guaman itu di Publika, Mont Kiara, Kuala Lumpur.
“Pegawai SPRM mahu mencari dan merampas dokumen milik firma. Bagaimanapun, kelihatan tiada alasan disebalik serbuan itu.”
Sementara itu, Malaysiakini melaporkan SPRM juga cuba menyerbu firma guaman Chetan Jethwani & Co, yang juga mewakili Muhyiddin.
FMT cuba menghubungi SPRM untuk mendapatkan komen berhubung dakwaan serbuan itu.