Bil pencen melambung, reformasi diperlukan, kata ahli ekonomi

Bil pencen melambung, reformasi diperlukan, kata ahli ekonomi

Antara reformasi yang dicadangkan termasuk skim KWSP bagi penjawat awam baharu dan skim pendapatan asas yang meluas.

Khairy Jamaluddin sebelum ini mencadangkan agar penjawat awam yang diambil mulai tahun depan mencarum dalam skim KWSP. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dua ahli ekonomi menggesa agar reformasi dilaksanakan berhubung pencen berikutan perbelanjaan operasi skim semasa yang tinggi dan bil yang melambung ditanggung pembayar cukai.

Yeah Kim Leng daripada Universiti Sunway mencadangkan skim yang melibatkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk penjawat awam. Beliau berkata, mustahak agar skim itu dilaksanakan bagi pengambilan baharu dalam perkhidmatan awam mulai tahun depan.

Katanya, negara mungkin berdepan jurang fiskal dalam masa terdekat jika tiada langkah diambil segera.

“Terdapat keperluan mendesak untuk memperbaharui skim semasa, sewajarnya dimulakan dengan rekrut baharu kerana apa sahaja (faedah) untuk penjawat awam sedia ada tidak patut disentuh.

“Kerajaan patut mempertimbangkan (reformasi sedemikian) memandangkan bawah skim sedia ada, pencen yang perlu ditanggung kerajaan akan terus meningkat sehingga tahap ia tidak lagi mampan,” kata Yeah kepada FMT.

Sistem pencen sedia ada menelan RM30.5 bilion atau 8% daripada belanjawan persekutuan sebanyak RM389 bilion tahun ini, meningkat RM3 bilion berbanding belanjawan pada 2021.

Dua tahun lepas, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob meramalkan bahawa bayaran pencen akan berjumlah sekitar RM46 bilion menjelang 2030.

Sementara itu, Shankaran Nambiar daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata, perbelanjaan operasi yang tinggi dalam belanjawan tahunan sebahagian besarnya disebabkan oleh bilangan penjawat awam.

Beliau berkata, lebih baik semua pencen dimansuhkan dan digantikan dengan skim pendapatan asas meluas yang mengecualikan mereka di hujung atas keluk agihan.

“(Pelan pendapatan asas) ini harus disokong dengan akses cekap kepada kemudahan penjagaan kesihatan awam dan skim pembiayaan penjagaan kesihatan yang baik (untuk pesara),” katanya kepada FMT.

Tambahnya, pendapatan asas akan meliputi mereka yang telah melepasi umur persaraan wajib dan individu tanpa pendapatan.

Bagaimanapun, Nambiar berkata, “konfigurasi semula fiskal negara secara komprehensif” diperlukan untuk melaksanakan sistem itu, yang memerlukan pengenalan cukai kekayaan dan kemewahan.

Tambahnya, pemeringkatan pelan ini memerlukan pemeriksaan yang teliti, tambahnya.

Baru-baru ini, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pencen bagi Ahli Parlimen dan penjawat awam perlu dimansuhkan bagi membantu menstabilkan kewangan negara.

Beliau turut mencadangkan penjawat awam yang diambil mulai tahun depan mencarum dalam skim KWSP sebagai sebahagian daripada pembaharuan itu.

Cadangan Khairy itu dibidas Cuepacs yang berkata, sebarang cadangan untuk menghapuskan atau mengurangkan faedah pencen penjawat awam “tidak masuk akal dan tidak wajar”.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, pembayaran pencen perlu dianggap sebagai satu bentuk pengiktirafan perkhidmatan, bukannya beban pada kerajaan.

Beban sementara untuk kerajaan

Yeah berkata, walaupun sistem berasaskan KWSP akan membantu meringankan beban fiskal kerajaan, Putrajaya perlu menanggung beban sementara dengan membayar 11% bahagian majikan untuk rekrut baharu dalam perkhidmatan awam.

“Tetapi dalam jangka panjang ia lebih mampan,” tambahnya.

Yeah menyeru agar Cuepacs bersikap lebih pragmatik dan memahami rasional peralihan kepada skim KWSP.

Beliau juga berkata, mustahak agar kerajaan memberi jaminan kepada kesatuan kakitangan awam bahawa skim itu hanya akan dilaksanakan secara prospektif, dan tidak akan menjejaskan tenaga kerja semasa.

Skim KWSP bermanfaat

Yeah turut berhujah bahawa langkah beralih kepada KWSP bermanfaat untuk generasi sekarang, yang mungkin tidak kekal dalam satu pekerjaan sepanjang hayat mereka.

“Masuk akal untuk mereka mempunyai skim yang fleksibel seperti KWSP dan mereka akan mengumpul caruman dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Ahli ekonomi itu, yang menganggotai jawatankuasa penasihat kementerian kewangan, juga berkata reformasi dalam pencen akan mencerminkan tanggungjawab fiskal memandangkan sistem semasa bergantung kepada wang pembayar cukai semasa dan masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.