Kerajaan terima impak negatif tak beri diskaun PTPTN, kata pemimpin pelajar

Kerajaan terima impak negatif tak beri diskaun PTPTN, kata pemimpin pelajar

Angkatan Mahasiswa UM menyeru KPT semak semula cadangan itu kerana membebankan peminjam yang berdepan situasi ekonomi semasa.

Kementerian Pendidikan Tinggi tidak bercadang meneruskan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam pembentangan Belanjawan 2024.
PETALING JAYA:
Cadangan tidak meneruskan pemberian diskaun bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memberi impak negatif besar kepada kerajaan, kata seorang pemimpin pelajar Universiti Malaya (UM).

Pengerusi Angkatan Mahasiswa UM, Muhammad Aiman Dhaifullah Dzulkarnain, berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu menyatakan justifikasi mengenai langkah itu, sekali gus menyemak semula keputusan berkenaan.

Katanya, ini kerana pemansuhan diskaun PTPTN dilihat sebagai satu tindakan “tidak bijak” kerana menambahkan beban mahasiswa selepas tamat pengajian.

“Banyak lagi komitmen perlu ditanggung mahasiswa dalam ekonomi yang tidak menentu pada masa ini, dan tindakan terbabit menambah bebanan hutang. Tambahan pula, dengan sektor pekerjaan sangat kompetitif yang tidak menentu pada masa ini, tidak menjanjikan peluang pekerjaan.

“Hutang PTPTN tanpa diskaun akan memberi impak negatif yang sangat besar kepada kerajaan. Tindakan ini membangkitkan kemarahan mahasiswa dan graduan dalam masa yang terdekat,” katanya menurut Berita Harian.

Dalam pada itu, Majlis Perundingan Pelajar (MPP) Kebangsaan mahu KPT meneruskan insentif diskaun kerana sudah lama dilaksanakan sebelum ini, sambil mengakui semua peminjam perlu menjelaskan hutang mereka.

Presidennya, Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi, berkata selain itu PTPTN juga progresif melakukan kempen galakan bayaran balik agar tidak terbeban yang akhirnya menjejaskan peminjam baharu.

“Inisiatif dilaksanakan dulu bagi memberikan diskaun kepada peminjam ini sememangnya membantu golongan peminjam mengurangkan beban mereka dalam melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman,” katanya.

“Pihak PTPTN juga seharusnya lebih progresif dalam melaksanakan kempen untuk menggalakkan bayaran balik PTPTN daripada peminjam supaya ia tidak menjadi beban kepada PTPTN dan akhirnya menjejaskan peluang kepada peminjam baharu yang akan memulakan pengajian di universiti,” katanya.

Beliau berkata, pemberian diskaun itu juga diperlukan ketika negara berdepan ekonomi selain faktor pendapatan tidak menentu.

“Dalam keadaan ekonomi negara dan pendapatan masyarakat tidak menentu, menjadi harapan supaya diskaun ini dapat diteruskan sebagai faedah yang memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin berkata pihaknya tidak bercadang meneruskan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN dalam pembentangan Belanjawan 2024.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tertakluk kepada keputusan dibuat Kementerian Kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.