
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata dianggarkan 5.8 juta isi rumah B40 dan M40 selain 92,000 peniaga mikro dijangka layak untuk membeli minyak masak yang disubsidi kerajaan itu.
Menurutnya, data DOSM menunjukkan ketika ini setiap isi rumah menggunakan 4.8 kg minyak masak dalam tempoh sebulan manakala usahawan kecil pula dianggarkan 400 hingga 450 kg.
“Kita akan lihat kajian itu untuk tetapkan had pembelian nanti,” katanya kepada FMT.

Fuziah berkata peniaga ingin membeli minyak masak peket itu perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan masih banyak belum berbuat demikian.
“Saya dah berkali-kali buat pengumuman suruh daftar dan SSM juga bagi pendaftaran percuma untuk B40 (kerana) ada 92,000 peniaga mikro yang layak…sudah tentu mereka perlu ada ID (untuk beli minyak peket),” katanya.
Baru-baru ini, Fuziah mengumumkan mulai tahun depan kerajaan akan memperkenalkan kad pengenalan khas untuk pembelian minyak masak peket bagi memastikan barangan bersubsidi itu hanya dibeli kumpulan layak.
Beliau turut menjelaskan mekanisme baharu itu tidak akan menaikkan kos operasi perniagaan yang kemudiannya diturunkan kepada pembeli seperti dibimbangi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Fuziah turut memaklumkan penerima manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARa) dan sistem baharu akan diperkenalkan nanti tidak menyasarkan kumpulan sama kerana pengelasan pihaknya berdasarkan rekod Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).
“Kita mungkin boleh guna di kedai yang ada SARa, cuma senarainya nanti berbeza kerana ia ambil data e-kasih iaitu miskin tegar manakala kita masukkan B40 dan M40 yang layak sekitar 5.8 juta isi rumah,” katanya.