
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu selaku plaintif memfailkan saman terhadap Dusuki pada 5 Sept lalu, atas dakwaan memfitnah kononnya beliau memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.
Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi berkata, mahkamah turut mengarahkan plaintif memfailkan jawapan pembelaan tersebut sebelum atau pada 17 Nov ini dan menetapkan 27 Nov untuk pengurusan kes selanjutnya.
“Writ dan tuntutan saman telah diserahkan kepada defendan (Dusuki) dan memorandum kehadiran telah difailkan oleh defendan menerusi peguamnya dari Tetuan Srihana Mohamad & Partners,” kata Asheeq Ali ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara e-Review di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar.
Berhubung satu lagi kes saman terhadap pemilik akaun Facebook “N13 Kuang”, Mohd Fauzan Madzlan membabitkan isu sama, Asheeq berkata mahkamah menetapkan 31 Okt untuk pengurusan kes selanjutnya.
“Kami masih dalam proses untuk menyerahkan writ dan tuntutan saman terhadap defendan (Fauzan),” kata peguam itu.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa kedua-dua defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah mendakwanya menyalahgunakan tempat beribadat iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Beliau mendakwa, kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Dusuki pada 31 Julai lalu.
Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.
Plaintif turut mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat bertujuan memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan menteri Kabinet.