
Chan Koon Pheng, 40, dilaporkan merayu kepada anak-anaknya kerana tidak mahu terus berada dalam penjara, menurut Utusan Malaysia.
Chan dan Tan Kok Teong, 42, mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan, di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.
Mereka dituduh memperdagangkan wanita warga Indonesia bagi tujuan buruh paksa antara Ogos 2025 dan Mei tahun ini, di beberapa lokasi di sekitar daerah Timur Laut, Barat Daya, dan Seberang Perai Tengah.
Pertuduhan tersebut, dikemukakan bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Tan mengaku tidak bersalah terhadap empat lagi pertuduhan yang sama termasuk dua di hadapan Hakim Roslan Hamid, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama.
Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan, serta syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan, dan tidak mengganggu saksi pihak pendakwaan.
Peguam mereka, Arvend Rajan, memohon jumlah jaminan yang lebih rendah, dengan alasan Chan merupakan pencari nafkah utama keluarga yang memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.
Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan wang ikat jamin sebanyak RM240,000.
Kes di hadapan Ooi ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Jun, sementara menunggu penyerahan dokumen, manakala prosiding di hadapan Roslan akan disebut semula pada 2 Julai.