
Sepanjang musim acara utama ini, Kuala Lumpur dijadualkan menjadi tuan rumah kepada 25 persembahan artis antarabangsa, di enam lokasi dengan sasaran lebih 500,000 peminat dari dalam dan luar negara, menurut penganjur, Live Nation Malaysia.
Antara artis yang bakal mengadakan persembahan termasuk Post Malone, The Weeknd, dan LANY dari Amerika Syarikat, serta BTS dari Korea Selatan.
“KL Headline Season dijangka menyaksikan ribuan rakyat merebut peluang untuk mendapatkan tiket bagi konsert dan persembahan terbesar pada tahun ini,” kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, ketika berucap sempena pelancaran malam tadi.
Fahmi turut menyentuh mengenai kempen Beli Tiket Selamat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penipuan tiket konsert, termasuk scam menggunakan teknologi kecerdasan buatan di media sosial.
Kempen untuk pengguna itu khusus bagi melindungi rakyat daripada ancaman penipuan tiket acara secara dalam talian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh turut memeriahkan majlis. Dalam ucapannya, beliau berkata Kuala Lumpur mahu muncul sebagai destinasi utama di rantau ini menerusi penganjuran lebih banyak acara antarabangsa.
“Acara hiburan berskala besar memberi impak besar kepada ekonomi termasuk sektor pelancongan, hotel, makanan dan perniagaan tempatan,” katanya.