
Tertuduh berusia 42 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Nazlyza Mohamad Nazri.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa merogol mangsa, menurut Berita Harian.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh terhadap mangsa ketika berusia lapan hingga 11 tahun di sebuah rumah di Marang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta yang sama serta Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (b), tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebat bagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Selepas pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 7 Nov sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.