Akta Perkhidmatan Parlimen akan diperkenal semula

Akta Perkhidmatan Parlimen akan diperkenal semula

Speaker Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dua akta tersebut akan melengkapkan Parlimen sebagai cabang badan perundangan.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan akan membawa Akta Perkhidmatan Parlimen dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) pada sidang Parlimen bulan ini.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan membawa cadangan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) pada sidang Parlimen bulan ini, kata Speaker Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam pembentangannya pada Persidangan Parlimen Komanwel ke-66 di Accra, Ghana, hari ini, Wan Junaidi berkata, dua akta tersebut akan melengkapkan Parlimen sebagai cabang badan perundangan.

“Akta-akta ini akan melengkapkan Parlimen sebagai cabang badan perundangan dengan infrastruktur perundangan, prosedur dan pentadbiran untuk merealisasikan sepenuhnya fungsi dan tugasnya sebagai antara cabang pengasingan kuasa dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun Perlembagaan Persekutuan digubal oleh ahli Suruhanjaya Reid yang merupakan warga asing, kesaksamaan mereka, latihan undang-undang dan pengalaman dalam tradisi dan perlembagaan Parlimen Komanwel telah menyediakan draf terbaik untuk pelaksanaan,” katanya menurut Bernama dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Speaker Dewan Negara.

Menurut kenyataan itu, dalam pembentangannya, Wan Junaidi menjelaskan bahawa bab dan perkara Perlembagaan Persekutuan disusun dengan cara yang unik dan sistematik bagi memenuhi pelbagai keperluan negara itu sendiri serta pengasingan kuasa yang jelas bagi ketiga-tiga cabang kerajaan itu juga terjalin dan berhubung antara satu sama lain.

“Meskipun konsep pengasingan kuasa ditunjukkan dalam bahagian Perkara yang berbeza, Wan Junaidi berkata jentera masih belum diletakkan dan diaktifkan sepenuhnya dan konsep baharu Prinsip Latimer dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia memerlukan lebih banyak lagi pendidikan dan kesedaran,” menurut kenyataan itu.

Bertemakan “The Commonwealth Charter 10 years on: Values and Principles for Parliaments to Uphold”, persidangan tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-10 Piagam Komanwel yang menggariskan prinsip dan nilai Komanwel.

Ia dihoskan oleh Parlimen Ghana dan Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) Cawangan Ghana di Accra, dari 30 Sept hingga 6 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.