
Bagaimanapun, mereka yang dikenal pasti tidak mampu melaksanakan apa jua tugasan susulan kesakitan yang tidak dapat diselesaikan, akan disyor berpencen lebih awal.
Kementerian Kesihatan dalam pekeliling baru-baru ini, berkata terdapat kes di mana kakitangan masih mengalami masalah kesihatan walaupun selepas menghabiskan semua cuti sakit diperuntukkan, selain tidak mampu menjalankan tugasan.
“Tiada peruntukan bagi doktor dalam mana-mana peraturan atau garis panduan mengsyorkan kakitangan kerajaan menjalankan tugasan ringan. Kini, ia akan digantikan dengan bidang kerja diubah suai selepas dilaksanakan program intervensi bersepadu terhadap kakitangan berkenaan,” kata kementerian itu.
Katanya, program itu melibatkan kakitangan kerajaan yang mengalami penyakit fizikal, psikologi, dan mental serta tidak dapat menyelesaikan masalah mereka walaupun sudah menggunakan semua cuti yang diperuntukkan bagi tujuan perubatan.
Di bawah peraturan sedia ada, kakitangan kerajaan dibenar mengambil maksimum 15 hari cuti sakit sebagai pesakit luar, dengan tambahan 180 hari sebagai pesakit ditempatkan dalam wad. Mereka akan dirujuk kepada Lembaga Perubatan bagi keputusan akhir.
Mereka yang telah menggunakan semua pilihan akan dinilai di bawah program intervensi bersepadu sebelum syor akhir dibuat terhadap masa depan mereka, kata pekeliling itu.
Kementerian Kesihatan berkata, program itu melibatkan empat fasa termasuk mengenal pasti kakitangan berkenaan diikuti saringan psikologi bagi memastikan jenis pelan intervensi.
“Fasa ketiga melibatkan rundingan dengan pakar relevan dan memantau kakitangan terkesan sebelum pihak jabatan mengeluarkan laporan akhir berhubung kebolehgunaan khidmat dan tindakan akhir akan dibuat jabatan sumber manusia,” kata pekeliling itu.