Azalina persoal guna timbang tara komersial urus tuntutan Sulu

Azalina persoal guna timbang tara komersial urus tuntutan Sulu

Azalina Othman Said menyifatkan proses timbang tara itu sebagai 'tidak masuk akal'.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata ‘lebih banyak persoalan berbanding jawapan’ melibatkan tuntutan Sulu terhadap Sabah. (Gambar Azalina Othman)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mempersoalkan kesesuaian menggunakan timbang tara komersial dalam menyelesaikan tuntutan kononnya dibuat waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia.

Dalam wawancara bersama CDR (Commercial Dispute Resolution) News, Azalina berkata memilih proses timbang tara tersebut “tidak masuk akal”.

“Ia berlaku di Sepanyol, kemudian seseorang memutuskan untuk pindah ke Paris dan kemudian berpindah ke Luxembourg. Timbul banyak persoalan berbanding jawapan yang boleh saya sediakan,” katanya dipetik sebagai berkata.

Azalina juga menyuarakan kebimbangan potensi pengaruh pendana pihak ketiga, namun mengakui keperluan bagi sokongan kewangan.

“Tetapi, dalam kes ini (Sulu), saya tidak mendapat sebarang maklumat daripada pendana. Tiada siapa yang berkongsi dan ia tidak adil,” katanya.

Sebelum ini, pihak penuntut mendakwa waris Sulu mendapat penganugerahan timbang tara memerlukan Malaysia membayar hampir USD15 bilion kepada penuntut, bagaimanapun Mahkamah Rayuan Paris memutuskan pada Jun mahkamah timbang tara tidak mempunyai bidang kuasa dalam kes berkenaan.

Terdahulu, Azalina berkata keputusan itu menunjukkan mahkamah berkenaan seterusnya membatalkan penganugerahan terbabit.

Keputusan timbang tara di Perancis susulan lapan tahun usaha perundangan dibuat waris itu, melibatkan kemasukan dana USD20 juta daripada pelabur pihak ketiga yang tidak dikenal pasti.

Pihak mendakwa waris Sulu menuntut perkara itu selepas Malaysia tidak meneruskan pembayaran tahunan RM5,300 kepada waris Sultan Sulu pada 2013, ekoran kumpulan bersenjata menceroboh Lahad Datu untuk menuntut kedaulatan Sabah.

Firma undang-undang di London, mewakili sekumpulan sembilan orang berpangkalan di Filipina, memfailkan siri saman terhadap kerajaan susulan tuntutan timbang tara USD15 bilion yang diperoleh menerusi penimbang tara warga Sepanyol.

Malaysia mencabar perintah timbang tara di Perancis dan Sepanyol, dan Mahkamah Perancis memerintahkan penangguhan penganugerahan itu, sementara menunggu keputusan tuntutan Malaysia bahawa arahan pembayaran melanggar kedaulatan Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.