Ancaman ‘Pak Belang’, Maik salur makanan di 2 pos Orang Asli Gua Musang

Ancaman ‘Pak Belang’, Maik salur makanan di 2 pos Orang Asli Gua Musang

Penduduk di Pos Bihai dan Pos Belatim berdepan masalah makanan selepas tidak dapat keluar bekerja akibat diancam harimau sejak sebulan lalu.

Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz melihat bakul makanan bagi misi bantuan bekalan makanan kepada penduduk Orang Asli yang terjejas akibat gangguan Harimau Belang di Pos Bihai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menghantar bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Pos Bihai dan Pos Belatim, Gua Musang, susulan ancaman harimau sejak sebulan lalu.

Yang Dipertuanya yang juga Tengku Temenggong Kelantan Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata bantuan makanan itu bagi meringankan beban penduduk yang tidak dapat keluar bekerja atas faktor keselamatan.

“Maik menerima permohonan bantuan bakul makanan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Kelantan (Jakoa) dan ia diluluskan sekali gus membuktikan kami sentiasa prihatin dan tidak sesekali meminggirkan masyarakat Orang Asli.

“Walaupun mereka (Orang Asli) berada jauh di pedalaman, Maik dengan kerjasama pihak berkaitan akan memastikan bantuan bakul makanan ini sampai dengan segera,” katanya menurut Harian Metro.

Sumbangan makanan bernilai RM73,000 itu akan diserahkan kepada 304 isi rumah di Pos Bihai, manakala Pos Belatim (185).

Sementara itu, Pengarah Jakoa Negeri Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan berkata, difahamkan tiga ekor harimau dikenal pasti berkeliaran di penempatan dua pos itu.

Beliau berkata, dalam tempoh itu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkampung di kampung berkenaan dan Sabtu lalu, seekor harimau berjaya ditangkap.

“Berbaki dua ekor yang menjadi ancaman kepada masyarakat Orang Asli di dua pos itu. Saya juga dimaklumkan sebelum ini seekor anjing sudah menjadi mangsa harimau dan disebabkan itu operasi menangkap haiwan liar terbabit digerakkan kerana bimbang akan keselamatan penduduk.

Zarina juga melahirkan penghargaan kepada sumbangan bakul makanan kepada penduduk di dua penempatan yang rata-rata bergantung kepada sumber hutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.