Gaduh rebut tunda kereta kemalangan, polis tahan 8 individu

Gaduh rebut tunda kereta kemalangan, polis tahan 8 individu

Pergaduhan melibatkan dua kumpulan terdiri daripada suspek berusia lingkungan 22 hingga 44 tahun.

Tular video pergaduhan dua kumpulan penunda kenderaan di Kampung Malaysia Tambahan, awal pagi tadi.
PETALING JAYA:
Lapan individu ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam rusuhan menggunakan senjata dalam urusan menunda kenderaan di Kampung Malaysia Tambahan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin berkata pergaduhan kira-kira 1.30 pagi itu melibatkan suspek berumur 22 hingga 44 tahun itu daripada dua kumpulan penunda kenderaan.

Menurutnya, polis menerima laporan orang awam mengenai pergaduhan itu, kira-kira jam 1.37 pagi tadi.

“Hasil siasatan awal, insiden berpunca daripada satu kes kemalangan kereta dan pergaduhan berlaku antara dua pihak untuk urusan menunda (towing) kenderaan terbabit.

“Dua kumpulan penunda kenderaan dipercayai berebut untuk menunda kereta yang terbabit dalam kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan.4

Zam Halim berkata sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Cheras berjaya menahan lapan lelaki dalam beberapa siri tangkapan bermula jam 11.15 pagi tadi.

“Usaha lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek yang masih bebas.

“Kita sedang mengenal pasti jumlah dan identiti mereka melalui soal siasat dijalankan ke atas lapan suspek ditangkap,” katanya yang mengesahkan siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video menunjukkan insiden pergaduhan berkenaan di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.