Berebut isi pistol air punca gaduh di pesta Songkran

Berebut isi pistol air punca gaduh di pesta Songkran

Polis menahan lima lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan pengunjung bergaduh dan membaling kerusi antara satu sama lain.
PETALING JAYA:
Polis menahan lima lelaki kerana disyaki terbabit dalam satu pergaduhan ketika pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah di Damansara baru-baru ini.

Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar berkata, lima lelaki berusia dalam lingkungan 20an hingga 30an itu ditahan ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan tersebut, lapor Sinar Harian.

“Kejadian dikatakan berpunca daripada berebut semasa mengisi air untuk pistol air yang digunakan dalam pesta tersebut,” katanya.

Semalam, Shahrulnizam berkata polis menyiasat pergaduhan itu selepas video kejadian tersebut tular di media sosial.

Katanya, polis mengesan video pergaduhan berkenaan yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook pada jam 10 pagi dan mendapati kejadian berlaku di sebuah pusat membeli belah di Damansara.

Dalam video berdurasi 56 saat itu menunjukkan sekumpulan pengunjung bergaduh dan membaling kerusi antara satu sama lain.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.