
Katanya, ini kerana 10% daripada bajet negara untuk membayar pencen penjawat awam dan jumlah itu akan semakin meningkat setiap tahun.
“Sewaktu Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri telah memberi gambaran bahawa pada 2030 pembayaran pencen akan naik sampai RM47 bilion.
“Jadi kalau melenting cadangan saya dan tidak melihat ini adalah bom jangka, ia akan menghimpit ruang perbelanjaan kerajaan,” kata bekas ketua Pemuda Umno dalam podcast Keluar Sekejap.
Khairy sekali lagi menjelaskan cadangannya sebelum ini hanyalah memansuhkan pencen Ahli Parlimen dan penjawat awam pengambilan baharu, bukan mereka yang sedang dalam perkhidmatan.
Semetara itu, Khairy berkata perbelanjaan negara mungkin terjejas apabila jumlah pembayaran pencen semakin meningkat.
“Seperti menghimpit perbelanjaan untuk membina sekolah, membina hospital, klinik dan sebagainya. Saya rasa kita berada dalam sindrom penafian,” katanya.
Sebelum ini, Khairy dilapor mencadangkan pencen penjawat awam dihapuskan “bagi membantu mengimbangi fiskal negara” ketika mengulas cadangan menggantikan pencen bagi Ahli Parlimen dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan cadangan Khairy itu sebagai mengarut serta tidak wajar dibangkitkan.
Presidennya, Adnan Mat turut mengingatkan bekas menteri itu, penjawat awam bukan seperti ahli politik yang berkhidmat dalam tempoh singkat tapi diberi imbuhan tinggi dan menikmati pencen yang besar.