
Presiden Ajit Johl berkata penjimatan daripada pengurangan beransur itu boleh digunakan untuk perbaiki perkhidmatan awam, di samping memberi masa kepada pemilik kenderaan persendirian membuat peralihan itu.
Beliau berkata andaikan kerajaan dapat jimat RM5 bilion daripada perbelanjaan subsidi tahun ini, ia harus digunakan secara menyeluruh untuk industri pengangkutan awam.
“Masalah seperti kesalinghubungan pengangkutan awam perlu diperbaiki tapi di mana wang untuk perbaiki? Wang itu sekarang diguna kerajaan untuk menanggung subsidi minyak berbilion-bilion ringgit,” katanya.
“Kerajaan perlu ambil satu langkah, bukan turunkan subsidi secara mendadak tetapi mungkin 25% secara beransur dalam masa empat tahun. Dengan ini, orang dapat bergerak.”
Tahun lalu, menteri kewangan ketika itu melaporkan unjuran subsidi kepenggunaan setakat 2022 meliputi petrol, diesel, dan gas petroleum cecair sahaja sebanyak RM37.3 bilion.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook bulan lepas memaklumkan tidak sampai 20% rakyat menggunakan pengangkutan awam berbanding sasaran 40% yang ditetapkan kerajaan, dan berkata usaha menambah baik rangkaian pengangkutan akan ditingkatkan.
Sebelum ini, penganalisis pengangkutan, V Ravindran, yang pernah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi berkata masalah perbatuan pertama dan terakhir membuatkan ramai penduduk keberatan hendak menggunakan pengangkutan awam, terutama kereta api.
Ia di sebalik permintaan yang tinggi bagi perkhidmatan rel dan bas, seperti yang dikendalikan Prasarana yang mencecah sejuta penumpang sehari pada 21 Mac lalu, menurut kenyataan.
Ajit percaya dasar kerajaan yang bercanggah antara faktor yang mendorong kepada peratus penggunaan pengangkutan awam yang rendah.
“Kita ada dua dasar yang bercanggah. Satu dasar berkaitan penambahan penggunaan pengangkutan awam. Lagi satu dasar menggalakkan pembelian kereta persendirian. Tidak masuk akal.”