4 guni pil yaba lebih RM2.5 juta dirampas, penganggur ditahan

4 guni pil yaba lebih RM2.5 juta dirampas, penganggur ditahan

Polis percaya semua dadah itu diperoleh dari negara jiran dan boleh digunakan 234,000 penagih dadah.

Muhamad Zaki Harun (dua kiri) menunjukkan pil yaba yang dirampas dalam sidang media di IPK Kelantan hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Polis menahan seorang penganggur bersama 234,000 biji pil yaba bernilai lebih RM2.5 juta dalam serbuan di Pasir Mas, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata suspek 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kelantan pada 11 malam.

“Ketika serbuan, suspek berada di luar Proton Perdana yang diletakkan di perkarangan tempat letak kereta sebuah pasar raya berdekatan Bandar Baru Pasir Mas.

“Pemeriksaan di bahagian but kereta itu, menjumpai empat guni warna putih yang mengandungi pil yaba,” katanya dalam sidang media di IPK Kelantan.

Zaki berkata, suspek ditahan itu tiada rekod jenayah lampau dan semua dadah itu dipercayai diperoleh dari negara jiran yang boleh digunakan 234,000 penagih dadah.

“Suspek direman tujuh hari bermula 24 hingga 30 Sept.

“Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut sama ada suspek ini terlibat dengan mana-mana kumpulan.”

Sementara itu, beliau berkata sepanjang Op Tapis dilaksanakan JSJN Kelantan mulai 13 hingga 26 Sept lalu, 620 orang termasuk 26 warga asing ditangkap.

“Semua suspek berusia 16 sehingga 60 tahun didapati terlibat pelbagai kesalahan bawah ABD 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Dalam tempoh operasi itu, pihaknya turut merampas pelbagai dadah bernilai RM2.7 juta dan harta berjumlah RM121,114 disita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.