
Harian Metro melaporkan AA Dinesh, RC Veeraganeish dan V Sasikumar masing-masing berusia 25 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa, tetapi tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding di depan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama bunuh hingga menyebabkan kematian terhadap R Darvnrajh, 24, di tepi jalan dekat kebun kelapa sawit Kemuning, Pulau Sebang, dekat Alor Gajah pada 10 Sept lalu antara 5.24 pagi hingga 9 pagi.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Mahkamah menetapkan 27 Okt depan untuk sebutan semula susulan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin bagi mendapatkan laporan penuh perubatan mangsa.
Media sebelum ini melaporkan dendam dipercayai motif seorang pemuda dibunuh kejam, di mana mayatnya ditemui dengan 18 kesan tikaman dalam semak dekat kebun kelapa sawit di Kemuning dua minggu lalu.