Mahkamah Switzerland benarkan saman iklim dari Indonesia diteruskan

Mahkamah Switzerland benarkan saman iklim dari Indonesia diteruskan

Saman melibatkan dua lelaki dan seorang wanita, kesemuanya nelayan dari Indonesia, yang berhujah syarikat bahan binaan Holcim menyumbang kepada kenaikan paras laut melalui pelepasan karbon dioksida.

Plaintif dari Indonesia, ibu Asmania (tengah) dan Arif Asmania (kanan) bersama peguam Cordelia Baehr (kiri) tiba di mahkamah di Zug, Switzerland. (Gambar EPA Images)
GENEVA:
Sebuah mahkamah Switzerland memutuskan pada Isnin bahawa satu saman berkaitan iklim yang difailkan dari luar negara terhadap sebuah syarikat besar boleh diteruskan, menjadikannya kes pertama seumpamanya yang dibenarkan di Switzerland, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Saman itu melibatkan tiga individu iaitu dua lelaki dan seorang wanita, kesemuanya nelayan dari Indonesia, yang berhujah yang syarikat bahan binaan Holcim menyumbang kepada kenaikan paras laut melalui pelepasan karbon dioksida (CO₂).

Mereka mendakwa aktiviti syarikat itu mengancam Pulau Pari, yang terletak hanya 1.5m dari paras laut, dengan kejadian banjir yang semakin kerap.

Menurut Holcim, ia akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Plaintif menuntut pampasan atas kehilangan pendapatan serta pembiayaan bagi langkah perlindungan di pulau mereka, selain menggesa pengurangan pelepasan CO₂ yang lebih ketara oleh Holcim.

Menurut Pertubuhan Bantuan Gereja Antara Agama Switzerland (HEKS), Mahkamah Daerah Zug mendapati yang keterangan yang diberikan oleh pihak terjejas menunjukkan kepentingan mereka terhadap pengurangan pelepasan oleh Holcim adalah “mendesak dan semasa”.

HEKS mengetuai kempen plaintif di Switzerland dan menyokong mereka dalam tindakan undang-undang itu.

Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan menyatakan yang ia tidak berpendapat mahkamah adalah “tempat yang sesuai untuk menangani cabaran global perubahan iklim”.

Menurut Holcim, ia mengurangkan pelepasan CO₂ dengan ketara dan menetapkan sasaran untuk menghasilkan bahan binaan yang sepenuhnya neutral iklim dan boleh dikitar semula menjelang 2050.

Saman berkaitan iklim turut difailkan di Belanda dan Jerman, namun kedua-duanya akhirnya tidak berjaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.