PRK Pelangai: Tiada pusat undi awal dibuka 3 Okt

PRK Pelangai: Tiada pusat undi awal dibuka 3 Okt

SPR berkata ia mengeluarkan kertas undi pos kepada semua pengundi yang berhak.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak, berkata proses pengeluaran kertas undi pos dijalankan dengan kehadiran ejen daripada semua calon bertanding.
KUANTAN:
Tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 3 Okt bagi PRK Pelangai berikutan kertas undi pos dikeluarkan bagi semua anggota polis, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha Ikmalrudin Ishak berkata SPR mengeluarkan 73 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos, semalam.

Menurutnya, sebanyak 69 kertas undi dikeluarkan mengikut kategori 1A merangkumi petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan petugas media, selain satu kategori 1C iaitu agensi dan organisasi serta tiga pengundi tidak hadir luar negara.

“Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding,” katanya dalam kenyataan.

SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang perisytiharan identiti serta mengembalikannya kepada pegawai pengurus berkenaan sebelum 5 petang pada hari mengundi, 7 Okt.

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.

SPR sebelum ini menetapkan hari mengundi pada 7 Okt, manakala 3 Okt sebagai tarikh pengundian awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.