
Tarikh penamaan calon pula pada 21 Okt manakala pengundian awal pada 31 Okt, menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azmi Sharom.
“PRK (DUN) Jepak melibatkan kos RM2 juta dan sejumlah 22,804 pemilih terlibat yang terdiri daripada 22,761 orang pengundi biasa dan 43 orang anggota polis,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK Jepak di Menara SPR.
Selasa lepas, SPR memaklumkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak, susulan kematian penyandangnya Talib Zulpilip pada 15 Sept.
Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir ekoran komplikasi buah pinggang setelah dimasukkan ke pusat perubatan pada hari sebelumnya.
Beliau menyandang kerusi DUN Jepak bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.
Talib dilantik sebagai menteri muda pelancongan dan warisan Sarawak pada 2009 dan pernah menyandang jawatan menteri di Jabatan Ketua Menteri (integriti dan ombudsman) Sarawak.