
Susulan itu, Timbalannya Joachim Gunsalam mewakili Maximus menyampaikan ucapan dasar presiden pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-38 di Penampang kelmarin, yang turut dihadiri Maximus bersama Penasihat Perdana PBS merangkap bekas presiden, Joseph Pairin Kitingan.
“Tahap kesihatannya semakin baik dan dibuktikan dengan kehadirannya hari ini (semalam). Namun, beliau dengan rendah diri memohon jutaan kemaafan kerana masih tidak dapat berkomunikasi dengan baik dan meminta saya membacakan ucapan dasarnya,” katanya menurut Harian Metro.
Maximus tidak kelihatan dalam kempen PRU15 November lalu yang menyaksikan beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu disandangnya selama enam penggal.
Maximus menerusi ucapan dasar yang dibacakan Joachim, berkata sebuah Jawatankuasa Semakan Perlembagaan PBS diwujudkan bagi menyemak semula perlembagaan, termasuk menstruktur semula persidangan perwakilan kepada tiga tahun sekali berbanding secara tahunan ketika ini.
Katanya, sayap baharu untuk ahli wanita muda turut dicadangkan sebagai antara pembaharuan bagi PBS.
Dalam perkembangan lain, Pairin yang juga pengasas PBS menyifatkan cadangan kerjasama parti itu dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan adiknya, Jeffrey Kitingan perkara baik.
“Kerjasama bukan bermakna bergabung, apabila bekerjasama, kita bekerja bersama dengan niat baik, tidak mensabotaj tetapi saling menyokong satu sama lain.”
Persidangan Perwakilan PBS semalam turut menyokong sebulat suara untuk membincangkan cadangan kerjasama dengan STAR.
Sebelum ini, Jeffrey menyuarakan keterbukaan partinya berbincang dengan PBS mengenai kerjasama dua parti itu dalam persediaan berdepan PRN ke-16.