
Beliau melantik Gunsalam, yang juga timbalan ketua menteri II Sabah, sebagai pemangku presiden berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi mesej yang dibacakan oleh Setiausaha Agung PBS Julita Majungki pada mesyuarat itu, Ongkili berkata, perasaan beliau agak bercampur-baur namun penyerahan tanggungjawab itu adalah perlu demi kepentingan parti.
“Hari ini, masanya sudah tiba untuk melakukan perubahan yang saya yakin akan membawa pembaharuan, iaitu penyerahan tugas dan tanggungjawab saya sebagai presiden kepada pemangku yang saya sendiri pilih (Gunsalam).
“Ini selaras dengan peruntukan Perkara 15(iii)(a) Perlembagaan PBS,” katanya.
Pada 6 April lepas, Majungki berkata, Ongkili akan berundur manakala Gunsalam akan dilantik sebagai pemangku presiden PBS bermula 1 Jun.
Ongkili, yang mengemudi PBS sejak enam tahun lepas berkata, bukan mudah untuk seorang pemimpin melepaskan jawatan, tanggungjawab dan peranannya kepada pengganti beliau dalam kalangan barisan kepemimpinan parti.
Katanya, sudah pasti banyak persoalan akan timbul dan pelbagai cabaran bakal dihadapi oleh sesiapa sahaja yang memegang jawatan presiden dalam mana-mana parti atau pertubuhan, terutama yang mempunyai begitu banyak sejarah dan amat bermakna buat rakyat Sabah.
Bagaimanapun, Ongkili berkata, berdasarkan keadaan kesihatannya sekarang yang memerlukan lebih perhatian dan tumpuan dalam proses pemulihan, beliau yakin pelantikan Gunsalam ialah keputusan yang baik untuk PBS ketika ini.
“Saya berharap dengan pelantikan ini, kepimpinan parti kita akan kekal bersatu bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai untuk rakyat dan negeri Sabah,” katanya.