
Sehubungan itu, calon Barisan Nasional (BN) pada PRK Pelangai, Amizar Abu Adam mahu meneruskan hasrat Johari yang meninggal dunia dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Anak jati Felda Chemomoi itu berkata kedudukan Pelangai yang terletak di jalan utama ke Negeri Sembilan, Johor dan ibu negara juga menjadi kelebihan kepada kawasan itu untuk dibangunkan kepada masyarakat luar.
“Di Pelangai, kita ada durian yang rasanya sangat unik. Ada tanah pertanian, ada tanah penternakan yang boleh kita teroka lagi.
“Kita nak bangunkan sebagai ‘hotspot’ yang pengunjung boleh duduk di dalam ladang kelapa sawit, boleh makan durian, boleh rasai sendiri bagaimana menjadi seorang peneroka, belajar cara memetik buah sawit, angkat kelapa sawit,” katanya pada program bual bicara “Legasi Pelangai” di Facebook.
“Saya pernah duduk berbincang dengan Allahyarham Johari, impian itu sama.”
Amizar berkata kesannya akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk Pelangai dengan menyediakan perkhidmatan inap desa dan restoran.
“Kalau kita dapat tambah nilai ekonomi penduduk tempatan, dinamik ekonomi akan berpusing, peniaga dapat lebih (pendapatan meningkat), homestay akan rancak.”
Menyentuh mengenai sikap peribadinya, Amizar berkata hari-hari beliau tidak akan tenang jika tidak berjumpa rakyat yang memerlukan.
“Jiwa ni kalau tak jumpa orang, jiwa ni kalau tak cari orang susah, tak tengok orang sakit, tak cari orang nak belajar, jiwa tak tenteram,” kata bendahari NGO Kami Anak Felda (KAF) itu.
PRK Pelangai pada 7 Oktober menyaksikan saingan tiga penjuru dengan Amizar dicabar calon Perikatan Nasional Kasim Samat dan bebas Haslihelmy DM Zulhasli.