Perlu perubahan budaya untuk kekang keganasan rumah tangga

Perlu perubahan budaya untuk kekang keganasan rumah tangga

Aktivis wanita menyeru masyarakat mengubah pemikiran mereka untuk membantu menangani masalah tersebut.

Kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) pada 2021 mendapati lebih 53% responden mengalami masalah keganasan dalam rumah mereka.
PETALING JAYA:
Satu perubahan budaya dalam kalangan lelaki dan wanita perlu untuk mengurangkan kes keganasan rumah tangga di seluruh negara, kata aktivis berdasarkan statistik yang dikeluarkan polis Selangor baru-baru ini.

“Kita mencari alasan (untuk menerangkan mengapa) individu bertindak kejam tetapi alasan utama adalah kerana individu tersebut merasakan bahawa dia lebih berkuasa daripada mangsa,” kata Pengarah Advokasi Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Abinaya Mohan.

Pertama sekali, Abinaya berkata, adalah penting bagi masyarakat untuk memahami bahawa keganasan rumah tangga sebagai satu bentuk penderaan, keganasan atau ugutan yang berlaku dalam lingkungan rumah untuk mengawal atau mengekalkan kuasa atas individu yang lain.

Beliau mengulas seminar keganasan rumah tangga 2023 yang diadakan oleh polis Selangor di Shah Alam pada 13 September lalu.

Pada seminar itu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mendedahkan bahawa Selangor melaporkan jumlah kes keganasan rumah tangga tertinggi di negara ini selama tiga tahun terakhir.

“Statistik polis menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga di Selangor dari 2017 hingga 2021 walaupun terdapat penurunan pada tahun 2022, dengan 466 kes,” katanya.

Sementara itu, satu kajian yang dijalankan pada 2021 oleh WAO mengenai persepsi dan sikap terhadap keganasan kepada wanita di Malaysia mendapati lebih daripada 53% responden – baik lelaki dan wanita – menyokong keganasan dalam rumah mereka, bersetuju bahawa sebahagian besar daripadanya adalah “reaksi biasa terhadap tekanan dan kekecewaan harian”.

Pengarah Program Pusat Wanita untuk Perubahan (WCC), Karen Lai, berkata keganasan rumah tangga sering kali bersifat antara generasi.

“Kanak-kanak yang membesar dalam keluarga di mana keganasan digunakan untuk menyelesaikan konflik cenderung untuk memahami dan menganggap keganasan seperti itu sebagai perkara biasa,” katanya.

Beliau juga berkata mengajar kanak-kanak dan remaja tentang menghormati dan menetapkan batasan yang selamat adalah asas bagi mereka untuk membina hubungan yang sihat.

Pengurus Program All Women’s Action Society (AWAM), Lilian Kok, berkata budaya bapa atau suami yang dominan dalam masyarakat menjadikan wanita sebagai mangsa utama keganasan rumah tangga.

“Pada akhirnya, perempuan juga yang menyokong. Kita mengikut norma budaya kerana jika kita melakukan perkara yang berbeza, kita akan diasingkan oleh masyarakat,” kata Kok.

Untuk memecahkan stereotaip gender yang ada dalam masyarakat, Abinaya berkata individu yang memberi bantuan pertama kepada mangsa keganasan rumah tangga harus menerima latihan khas yang bertujuan untuk mengubah sikap individu terhadap setiap gender.

Kok berkata juga penting bagi masyarakat untuk menghapuskan keengganan mereka untuk mencampuri urusan orang lain.

Beliau juga berkata keengganan untuk mengakui keganasan rumah tangga sebagai wabak dalam masyarakat adalah satu rintangan besar kerana ia merosakkan keberkesanan kempen-kempen anti-penderaan oleh NGO.

Abinaya berkata penerimaan secara tidak langsung oleh masyarakat terhadap keganasan rumah tangga menjadi penghalang utama kepada usaha menghapuskan kekejaman itu.

“Mungkin sebenarnya kita memang bersetuju dengan keganasan dalam rumah, kita mencari dan membuat alasan. Sangat biasa kita mendengar alasan: ‘orang ini marah dan itulah sebabnya dia memukul seseorang’.

“Kita mempunyai tugas yang besar di hadapan kerana tidak mudah untuk mengubah budaya, itulah sebabnya perbincangan dan perubahan pemikiran adalah penting,” kata Abinaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.