
Tindakan suspek berasal dari Kajang, Selangor, mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di Merlimau, dekat Jasin dihidu sepasukan polis ronda cegah jenayah dari Balai Polis Merlimau kira-kira 5.30 pagi Khamis.
Ketua Polis Jasin, Ahmad Jamil Radzi, berkata anggota polis pada mulanya mendapati kabel TM dipotong di tepi Jalan T/l Tnb di Serkam, Merlimau.
“Sebaik menghubungi juruteknik TM untuk pengesahan kabel yang cuba dicuri, polis dimaklumkan kabel itu milik (TM) Tech, iaitu talian bawah tanah bersaiz 400 pair sepanjang kira-kira 175m mengalami kerosakan dengan anggaran kerugian RM30,000,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, polis kemudian melakukan pemantauan dan terserempak dua kereta, termasuk sebuah BMW dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan kejadian.
Katanya, pasukan peronda mengejar dua kenderaan itu, sebelum BMW berkenaan terbabas merempuh tembok bangunan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan sebuah lagi kereta berjaya meloloskan diri.
“Susulan itu, polis menahan dua lelaki di Serkam, manakala dua lagi suspek, termasuk wanita ditahan di Kajang pada hari sama.
“Semakan mendapati semua suspek berusia 23 hingga 33 tahun itu memiliki rekod lampau jenayah serta dadah dan direman empat hari bermula hari ini.”
Kataya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan. Orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Farkhan Zainal 013-9003070 atau mana-mana balai polis terdekat.