Inflasi kekal 2% pada Ogos

Inflasi kekal 2% pada Ogos

Indeks harga pengguna berada pada 130.8 berbanding 128.2 pada bulan yang sama tahun lepas, menurut DOSM.

Kadar inflasi negara pada Ogos antaranya didorong oleh harga makanan dan minuman bukan alkohol, menurut DOSM.
PETALING JAYA:
Inflasi kekal pada tahap 2% pada Ogos, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.

Menurutnya, indeks harga pengguna (CPI) berada pada 130.8 berbanding 128.2 pada bulan yang sama tahun lepas.

Kadar inflasi pada Ogos didorong oleh restoran dan hotel (4.7%, berbanding 5% pada Julai), makanan dan minuman bukan alkohol (4.1% berbanding 4.4%), serta pelbagai barangan dan perkhidmatan, dan kesihatan, yang masing-masing meningkat sebanyak 2.4%.

Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, yang menyumbang 29.5% daripada jumlah CPI, menyederhana daripada 4.4% pada Julai kepada 4.1% pada Ogos.

Sementara itu, inflasi komponen makanan di luar rumah mereda kepada 5.9% berbanding 6.2% pada bulan sebelumnya.

DOSM berkata, peningkatan inflasi komponen makanan di rumah didorong terutamanya oleh subkumpulan daging (5.8%); beras, roti dan bijirin lain (4%); serta susu, keju dan telur (4%).

Dalam subkumpulan daging, komponen ayam mencatatkan peningkatan kepada 5.7% berbanding 4.3% pada Julai.

“Purata harga ayam standard di Malaysia meningkat kepada RM10.21 sekilogram berbanding RM10.51 sekilogram pada Julai 2023,” menurut kenyataan DOSM.

Menurutnya, kenaikan harga bagi subkumpulan itu juga didorong oleh kenaikan harga daging babi (18.5%) dan itik (5.7%).

Tujuh negeri mencatatkan kenaikan melepasi kadar inflasi negara, iaitu Sarawak (3.4%); Putrajaya (2.7%); Perlis (2.4%); Perak (2.3%); Selangor (2.3%); Pahang; (2.2%); dan Melaka (2.1%).

Bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, DOSM melaporkan semua negeri mencatatkan peningkatan, didahului Putrajaya (5.7%); Selangor (5.3%); Sarawak (5.0%); Perlis (4.7%); Melaka (4.4%); Pulau Pinang (4.2%); Labuan (4.2%); dan Pahang (4.1%).

Kadar inflasi Malaysia pada Ogos lebih rendah berbanding Zon Euro (5.3%), juga berbanding Filipina, Korea Selatan, Indonesia dan Vietnam di rantau Asia Pasifik.

Bagaimanapun, kadar inflasi negara lebih tinggi berbanding Thailand (0.9%) dan China (0.1%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.