5 dicekup, polis rampas dadah RM1.5 juta

5 dicekup, polis rampas dadah RM1.5 juta

Lima suspek ditahan dalam serbuan berasingan di Kampung Gunung Rapat dan Kampung Rapat, Perak.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM1,561,040 yang dirampas susulan penahanan lima suspek pada sidang media di IPK Perak. (Gambar Bernama) 
IPOH:
Polis Perak merampas dadah jenis ketamin dan methamphetamine bernilai RM1,561,040 dalam dua serbuan di kawasan Gunung Rapat, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata susulan rampasan itu, lima suspek berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun turut ditahan dalam serbuan berasingan di Kampung Gunung Rapat dan Kampung Rapat di sini.

“Serbuan pertama dilakukan dalam sebuah kereta di tepi Jalan Gopeng (Kampung Gunung Rapat) apabila pihak polis menahan tiga lelaki dan menemukan dadah jenis ketamin anggaran berat 26.2kg, cecair disyaki dadah ketamin anggaran berat 3.4kg serta methamphetamine anggaran 1.8kg.

“Susulan serbuan itu juga polis menahan dua lagi lelaki di sebuah rumah di Kampung Rapat yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ketamin tersebut,” katanya pada sidang media di IPK Perak.

Yusri berkata, hasil ujian saringan awal mendapati empat suspek positif dadah jenis THC manakala seorang lagi suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Hasil semakan juga mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau serta dadah manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod,” katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kelima-lima suspek direman tujuh hari mulai 21 hingga 27 Sept bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu katanya, polis turut menyita sebuah kereta dan dua motosikal serta wang tunai dengan anggaran jumlah keseluruhan RM30,380 selain kes akan disiasat bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988.

Katanya, kejayaan rampasan itu hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dan polis dalam memastikan gejala tersebut dapat dibanteras.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.