
Jomo berkata, Malaysia sejak tujuh dekad lalu mengutamakan pelaburan asing berbanding pelaburan domestik, namun beliau percaya strategi itu belum membuahkan hasil diingini.
Katanya, perjanjian antarabangsa dan pelbagai undang-undang lain menyebabkan pelabur tempatan meraih lebih banyak manfaat sekiranya ia mendaftarkan syarikat di luar negara, misalnya di Singapura, berbanding di Malaysia.
“Anda akan diberi lebih banyak keistimewaan sebagai pelabur asing, misalnya di seberang Tambak, berbanding berpangkalan di Malaysia,” katanya pada satu forum anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.
“Jadi tidaklah mengejutkan apabila ada syarikat dijalankan oleh warga Malaysia tetapi sebenarnya berdaftar di Singapura,” tambahnya.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata lebih banyak usaha menyeluruh dibuat untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dilaporkan komited mencapai keseimbangan antara FDI dan DDI bagi memastikan pembangunan yang mampan dan seimbang di serata negara.
Jomo berkata Malaysia wajar mengurangkan kebergantungan pada pelaburan portfolio asing, dengan mendakwa ia memainkan peranan dalam Krisis Kewangan Asia 1997-1998 yang turut memberi kesan ke atas negara.
Beliau menyeru kerajaan supaya lebih proaktif dan progresif dalam perkara ini.
“Malangnya, kita ada situasi di mana sejak separuh dekad lalu kita mengurus beberapa krisis, yang menyebabkan kerajaan tidak dapat memainkan peranan yang progresif,” katanya.