
Menurutnya, setakat ini penggunaannya di Malaysia mencapai 20% dan akan ditingkatkan menerusi pengenalan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) iaitu hala tuju strategik jangka panjang.
“Kita harap dasar ini boleh membantu dasar negara meningkatkan penggunaan teknologi nuklear sebanyak 40% menjelang tahun 2030,” katanya pada sidang media selepas merasmikan DTNN 2030.
Chang berkata penggunaan teknologi di Malaysia kini boleh disifatkan baik namun tidak tinggi dan hanya terhad kepada beberapa sektor sahaja seperti perubatan.
Jelasnya, ia turut digunakan dalam meningkatkan jaminan keselamatan makanan termasuk penghasilan beras berkualiti dan lebih tahan penyakit.
Beliau berkata pelaksanaan DTNN 2030 juga akan membolehkan negara memaksimumkan manfaat penggunaan teknologi nuklear secara aman untuk pembangunan sosio-ekonomi dan meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara maju yang lain.
“DTNN 2030 menetapkan empat teras strategik, 18 strategi dan 13 sasaran utama melibatkan pihak berkepentingan dalam pelbagai sektor ekonomi.
“Selain itu, dasar ini telah mengenal pasti enam sektor fokus utama iaitu perubatan dan penjagaan kesihatan, makanan dan pertanian, pembuatan peranti dan peralatan, pengurusan alam sekitar dan sumber asli, aplikasi perindustrian serta keselamatan dan sekuriti nuklear,” katanya.
DTNN juga menyokong matlamat Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi terkandung dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.