
Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Zahari Sarip berkata, secara keseluruhan, Johor mempunyai bekalan beras 316,000 tan metrik setahun, justeru seharusnya tidak timbul kerisauan tentang bekalan itu.
“Apa yang berlaku adalah pembelian panik apabila keluarga yang biasa beli sekampit beras sebulan, tiba-tiba membeli dua atau tiga kampit sekali gus.
“Ini termasuklah pengusaha makanan, peniaga kantin, dan pengusaha katering kerana risau tiada bekalan, jadi mereka terus beli dalam kuantiti besar,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani di Pasar Tani Kekal, Jalan Datin Halimah, Johor Bahru.
Zahari berkata, setakat ini pihak berkuasa tidak menerima sebarang aduan berkaitan mana-mana pihak menyorok bekalan beras di negeri itu.
“Mungkin semasa mereka (pembeli) sampai di kedai, kebetulan stok baru habis atau stok baharu belum sampai tetapi data diterima daripada pelbagai agensi berkaitan tidak menunjukkan kekurangan bekalan yang serius.
“Setakat ini tiada terima laporan sorok beras, tiada tangkapan, mungkin dalam TikTok ada tetapi dalam laporan rasmi kepada KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) tiada. Saya alu-alukan kalau rakyat atau pembeli yang tahu ada berlaku kes sorok beras, laporkan kepada KPDN,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan Johor telah menerima bekalan tambahan 100 tan metrik beras daripada beberapa agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Pertubuhan Peladang untuk mengatasi kekurangan bekalan tersebut di negeri itu.