3 beradik antara ditahan, polis rampas dadah RM200,000

3 beradik antara ditahan, polis rampas dadah RM200,000

Mereka yang berusia antara 22 dan 36 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di sekitar Johor Bahru semalam.

Kamarul Zaman Mamat menunjukkan senjata api yang turut dirampas bersama dadah dalam empat serbuan berasingan di Johor Bahru, semalam. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis menahan sembilan individu termasuk tiga beradik dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM231,000 dalam empat serbuan di sekitar bandar raya ini, Seri Alam dan Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata enam lelaki dan tiga wanita berumur lingkungan 22 dan 36 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor antara 2 pagi dan 9.30 pagi.

“Hasil serbuan polis berjaya merampas pelbagai dadah iaitu 27.55kg ganja, 1.81kg heroin, 2.02kg syabu, 597g ketamin, 81g pil yaba dan 106g pil ekstasi dianggarkan boleh digunakan seramai 50,578 penagih dadah.

“Lima pucuk pistol pelbagai jenis bersama 136 butir peluru dan 111 karton rokok keluaran China turut dirampas,” katanya pada sidang media di IPK Johor.

Beliau berkata, modus operandi sindiket yang mula aktif sejak Mei lalu adalah dengan menyewa beberapa rumah sebagai stor penyimpanan dadah yang dipercayai diperoleh dari negeri utara sebelum diedarkan ke pasaran tempatan khususnya di kawasan perkampungan dan Felda.

Kamarul berkata, selain itu polis turut menyita empat kenderaan, sebuah motosikal, barang kemas serta wang tunai RM126,000 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM536,662.40.

Menurutnya, saringan awal ke atas sembilan individu terbabit mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, manakala enam suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Semua pistol dirampas tidak mempunyai lesen dan kita akan menyiasat bagi mengenal pasti sama ada terdapat tembakan yang pernah dilepaskan daripada semua pistol yang tulen ini,” katanya.

Katanya, sembilan individu itu direman enam hari bermula semalam hingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 33 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, sejak 1 Jan hingga semalam, JSJN Johor menahan 12,493 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 4.18 tan dadah bernilai RM29.38 juta serta menyita harta bernilai RM10.02 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.