Polis panggil Caprice, Mondy selepas laporan Ebit

Polis panggil Caprice, Mondy selepas laporan Ebit

Polis menerima arahan lanjut menyiasat kes itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Timbalan Ketua Polis Selangor S Sasikala Devi berkata pihaknya sudah mengambil keterangan Ebit Lew dan akan merekodkan keterangan Caprice serta Mondy Tattoo dalam masa terdekat.
PETALING JAYA:
Polis akan memanggil penyanyi rap Caprice dan wanita Indonesia dikenali sebagai Mondy Tattoo bagi membantu siasatan susulan laporan dibuat pendakwah Ebit Lew.

Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, berkata pihaknya menerima arahan lanjut hari ini bagi menyiasat kes itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Setakat ini, katanya, polis hanya menerima satu laporan dibuat Ebit di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, semalam.

“Kita sudah merakam keterangan Ebit Lew dan turut akan merekodkan keterangan daripada Caprice dan wanita Indonesia itu dalam tempoh terdekat.

“Proses itu adalah prosedur bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya,” katanya menurut Harian Metro di IPK Selangor.

Semalam, Ebit dilaporkan berkata dakwaan dalam sebuah episod audio siar kendalian seorang selebriti tempatan baru-baru ini adalah “fitnah-fitnah yang teramat melampau dan langsung tidak berasas” ke atas dirinya.

Laporan itu dipercayai dibuat selepas tular rakaman wawancara seorang wanita dari negara jiran pernah mendapat bantuannya, yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah ketika pertama kali tiba di Malaysia tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.