
Peguam utama pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini bahawa permohonan itu akan difailkan secepat mungkin.
“Permohonan mengetepikan (tuduhan) akan dibuat mengikut Seksyen 173(g) Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.
Peruntukan itu membenarkan mahkamah melepaskan seseorang tertuduh jika menganggap tuduhan yang dikemukakan tidak berasas.
Perkara itu dimaklumkan kepada mahkamah oleh pasukan pembelaan Muhyiddin semasa sebutan permohonan pihak pendakwaan untuk perbicaraan bersama kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang sedang dihadapi bekas perdana menteri itu.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin memaklumkan Azura bahawa Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat tuduhan yang mendakwa beliau menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta untuk Bersatu.
Pada 15 Ogos, Hakim Jamil Hussin berkata, tuduhan itu tidak mendedahkan dengan jelas berlaku sebarang kesalahan yang diketahui undang-undang, dan tidak cukup jelas untuk membolehkan Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, menyediakan pembelaannya.
“Tuduhan-tuduhan itu cacat dan saya menggunakan kuasa sedia ada pada saya kerana berlaku penyalahgunaan proses,” kata Jamil ketika membebaskan Muhyiddin.
Wan Shahrudin berkata, pihak pendakwaan sedang merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Katanya, petisyen rayuan yang menyenaraikan dakwaan kekhilafan hakim telah pun difailkan di Mahkamah Rayuan dan pengurusan kes dijadualkan pada 27 Sept.
Azura menetapkan sebutan permohonan perbicaraan bersama itu pada 29 Nov sementara menunggu kemas kini prosiding di Mahkamah Rayuan.
Muhyiddin didakwa menyalahgunakan kuasa dan melanggar Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) di sini dan di Shah Alam pada 10 Mac.
Ini membabitkan dua tuduhan memperoleh RM195 juta daripada Bukhary Equity, didakwa hasil kegiatan haram, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Muhyiddin didakwa melakukan kesalahan itu di Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021, dan antara 8 Feb dan 8 Julai 2022.
Pada 13 Mac, dia turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu tuduhan menerima RM5 juta hasil kegiatan haram.
Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk perbicaraan bersama.