Lee sokong badan kawal selia bayaran pampasan insurans kesihatan

Lee sokong badan kawal selia bayaran pampasan insurans kesihatan

Bekas timbalan menteri kesihatan berkata badan seumpama itu mampu menyelesaikan masalah pertikaian timbang tara, dan memastikan syarikat bertindak sewajarnya.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, penubuhan badan kawal selia itu adalah lebih memberi manfaatkan, memandangkan ia mempunyai pengetahuan khusus dalam bidang perubatan.
PETALING JAYA:
Seorang bekas timbalan menteri kesihatan menyokong penubuhan badan kawal selia bagi menyelia dan menguruskan bayaran pampasan oleh syarikat insurans kesihatan.

Dr Lee Boon Chye berkata, kewujudan pihak berkuasa seumpama itu mampu menyelesaikan masalah pertikaian timbang tara, dan memastikan syarikat bertindak sewajarnya.

“Secara ideal perlu ada pihak berkuasa kawal selia bagi menyelia perlakuan organisasi penjagaan terurus, supaya dapat bertindak sebagai timbang tara bagi pembayaran pampasan sekiranya berlaku sebarang pertikaian,” katanya kepada FMT.

“Pihak berkuasa ini juga patut memainkan peranan bagi memastikan perlakuan organisasi penjagaan terurus sentiasa beretika dan telus, bukannya bertindak sewenang-wenangnya.”

Kenyataannya itu susulan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh menggesa badan seumpama itu diwujudkan bagi mentadbir bayaran pampasan oleh syarikat insurans kesihatan.

Buat masa ini, syarikat insurans di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).

Lee berkata, penubuhan pihak berkuasa khas adalah lebih memanfaatkan, memandangkan ia mempunyai pengetahuan khusus dalam bidang perubatan.

“Keadaan agak sukar di bawah BNM, kerana ia tidak mahir dalam bidang perubatan. Saya tidak fikir mereka mampu membuat penilaian sama ada tuntutan dikemukakan adalah sahih, atau penolakan surat jaminan dibuat secara wajar,” katanya.

“Saya rasa lebih baik kementerian kesihatan memantaunya sebagai badan kawal selia.”

Lee mencadangkan badan itu merangkumi dua pihak berkuasa yang masing-masing mampu menyumbangkan kepakaran dalam bidang terbabit.

Katanya, BNM boleh memantau aspek kewangan, manakala kementerian kewangan memantau dari segi perubatan.

Sementara itu, Kuljit berkata mewujudkan badan seperti itu akan mengambil masa kerana Parlimen perlu meluluskan undang-undang berkaitan.

Sementara itu, sebagai penyelesaian, jalan tengah mungkin boleh diukir antara kerajaan dan syarikat-syarikat insurans.

“Kami percaya peraturan diperlukan supaya hospital dan pesakit sama-sama dilindungi, dan menerima perlindungan yang dijanjikan,” katanya kepada FMT.

“Namun jika kita dapat bekerjasama tanpa perlunya peraturan juga lebih baik buat masa ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.