
APHM berkata, pihaknya sudah menyerahkan cadangan itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) menjelang pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen Jumaat ini.
“Cadangan ini mengambil kira kenaikan kos kesihatan, pertambahan jumlah kes dan keperluan mendesak untuk pembaharuan, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia selaku penyedia perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia bagi pelancongan perubatan serta untuk menarik pelaburan asing,” katanya dalam kenyataan.
Antara cadangan APHM termasuk penambahan peruntukan bagi program penyumberan luar perkhidmatan hospital (HSOP) untuk membolehkan hospital swasta memberi sokongan diagnostik dan pengimejan kepada sektor awam.
“Mengambil kira kapasiti pesakit dalam dan luar yang berbeza-beza di hospital ahli kami, khususnya untuk ujian diagnostik dan pengimejan, APHM menyarankan peruntukan HSOP ditambah dan diperluas.
“Kami juga berharap program HSOP dapat dimulakan lebih awal sebaik sahaja peruntukan diumumkan,” kata persatuan itu.
“Langkah ini akan membolehkan hospital swasta melengkapkan dan mengurangkan beban sistem kesihatan awam dengan menggunakan kapasiti sedia ada yang belum digunakan.”
Persatuan itu turut menggesa agar struktur cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dihalusi bagi mengelak cukai berganda dalam ekosistem kesihatan, mencadangkan pengecualian bagi transaksi antara fasiliti yang melibatkan penyedia perkhidmatan kesihatan berlesen di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
“Ini merangkumi perkhidmatan antara hospital dengan klinik atau antara penyedia perkhidmatan yang beroperasi di bawah kumpulan korporat atau lesen yang sama,” katanya.
APHM turut mencadangkan insentif atau elaun cukai pelaburan diberikan kepada hospital swasta yang melabur dalam kecerdasan buatan (AI), robotik dan prasarana IT kesihatan untuk menyokong transformasi kesihatan digital Malaysia.
“Pelaburan ini penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan negara yang cekap, dipacu data dan bersepadu untuk jangka panjang,” katanya.
Bagi melonjakkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan perubatan serantau, APHM menggesa kerajaan memperkenalkan ‘Geran Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026’.
“Bagi menyokong inisiatif MYMT 2026, kami mencadangkan skim geran sepadan untuk hospital yang disenaraikan di bawah Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) bagi tujuan promosi perkhidmatan kesihatan Malaysia di luar negara.
“Geran ini boleh mencecah sehingga RM10,000 bagi setiap lawatan promosi, terhad kepada tiga lawatan setahun untuk setiap hospital, dan tertumpu pada kegiatan promosi di negara-negara Asean,” katanya.