
Ahli Parlimen Putrajaya itu mempersoalkan permintaan supaya Anwar menarik balik kenyataan berunsur tuduhan terhadapnya, yang seolah-olah diabaikan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.
“Saya mohon rakyat Malaysia hari ini tengok, kalau kami dalam Dewan sendiri dituduh macam-macam di depan begitu tanpa sebarang bukti dan diminta supaya kenyataan itu ditarik balik pun tak boleh.
“Kami pun tidak mendapat keadilan, bagaimana untuk rakyat,” kata wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu pada sidang media di Parlimen.
Radzi berkata, tidak munasabah untuk Anwar menuduhnya ketika memberi penjelasan mengenai keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi dihadapinya.
“Permintaan saya tak susah. Cuma minta Ahli Parlimen Tambun menarik balik kenyataan itu sahaja kerana melibatkan tuduhan kepada saya.
“Ini perkara yang sangat ‘straight forward’. Itu sahaja. Kenapa nak pertahankan benda yang tidak betul? Kenapa nak pusing-pusing jawapan,” katanya.
Tindakan Johari mengarahkan Radzi keluar menyebabkan Ahli Parlimen PN turut sama meninggalkan Dewan Rakyat sebagai tanda protes.
Bagaimanapun, Khlir Nor (PN-Ketereh) kekal di Dewan Rakyat. Satu-satunya Ahli Parlimen pembangkang lain bersamanya ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar).
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, berkata tindakan semua Ahli Parlimen PN keluar Dewan adalah protes terhadap Johari kerana berlaku ketidakadilan.
“Sepatutnya dia (speaker) melakukan sesuatu mengikut legislatif bukan menjadi seorang peguam,” katanya.
Hamzah turut berkata, perbuatan Anwar dalam “memusingkan” kenyataan sebelum itu menunjukkan suatu pembohongan berlaku di Dewan.
“Jadi saya bangun dan kata, kalau keputusan itu dibuat oleh speaker adalah sesuatu yang tak adil kepada salah seorang Ahli Parlimen pembangkang, maka tiada guna kita duduk (Dewan) kerana mengakui bahawa yang pembohongan itu benar,” katanya.