Kaji akta jenayah siber sejajar teknologi AI, kata KPN

Kaji akta jenayah siber sejajar teknologi AI, kata KPN

Ketua polis negara berkata, pakar dan saintis AI sangat bimbang dengan kapasiti AI yang boleh mengawal arahan komputer untuk mengubah sesuatu dengan sendiri.

Razarudin Husain berkata, kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat kelak susulan kepesatan teknologi AI. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Undang-undang sedia ada berkaitan jenayah siber perlu dikaji dengan memasukkan elemen penipuan melalui perisian dan peranti komputer, kata Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.

Ini kerana katanya, kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat pada masa akan datang susulan kepesatan teknologi, terutama melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, pakar dan saintis AI sangat bimbang dengan kapasiti AI yang boleh mengawal arahan komputer untuk mengubah sesuatu dengan sendiri.

“Walaupun hampir keseluruhan tujuannya adalah baik, namun ia boleh digunakan untuk kegunaan jenayah seperti pemalsuan wajah (deepfakes), maklumat salah (misinformation) dan maklumat palsu (disinformation), malah ia mampu mengubah fabrik sosial.

“Sebagai langkah awal, PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan menggiatkan program kesedaran masyarakat mengenai peningkatan trend jenayah ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengalu-alukan semua pemain industri untuk melihat pendekatan digunakan negara maju dalam menangani jenayah siber dan peruntukan undang-undang mereka agar masyarakat Malaysia dapat dilindungi daripada menjadi mangsa.

Senada dengan Razarudin, Pengarah JSJK Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata undang-undang sedia ada berkaitan jenayah siber perlu dikaji semula dan selaras negara lain bagi menangani ancaman jenayah siber.

Katanya, kajian terperinci undang-undang perlu dibuat penggubal undang-undang kerana PDRM hanyalah pelaksana penguatkuasaan undang-undang.

Selain itu, PDRM juga akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenayah siber yang dijangka sentiasa meningkat pada masa akan datang, sejajar kepesatan teknologi, terutama dengan perkembangan penggunaan teknologi AI.

Oleh itu, warga PDRM perlu meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kebolehan untuk menangani serta menyiasat kes berkaitan jenayah siber.

Menurutnya, kes jenayah siber sentiasa berubah mengikut peredaran zaman, maka warga PDRM perlu dilengkapi kemudahan mencegah dan menyiasat jenayah siber.

Isnin lepas, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen berkata, hampir 55,000 kes jenayah siber dengan nilai kerugian mencecah RM1.8 bilion dilaporkan bagi tempoh 2021 hingga Julai lalu.

Justeru, kerajaan akan meminda undang-undang sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan memerangi kegiatan jenayah siber.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.