Undi BN bantu PH menang di Simpang Jeram, kata penganalisis

Undi BN bantu PH menang di Simpang Jeram, kata penganalisis

Pemerhati berkata, kemenangan besar diraih Nazri Abdul Rahman daripada Amanah membayangkan bahawa akar umbi Umno semakin menerima mesej parti.

Calon PH Nazri Abdul Rahman menang pada PRK Simpang Jeram dengan majoriti 3,514 undi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pindahan undi daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) membantu gabungan pimpinan Anwar Ibrahim itu memperoleh kemenangan lebih besar pada PRK Simpang Jeram, berbanding pada pilihan raya kerusi DUN di Johor tahun lepas, kata penganalisis.

Sabtu lepas, Nazri Abdul Rahman daripada Amanah menang kerusi DUN Simpang Jeram dengan majoriti 3,514 undi, iaitu 1,115 lebih berbanding yang diperoleh Salahuddin Ayub tahun lepas.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia dan Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, penambahan margin itu “jelas menunjuk dan membuktikan” kebolehpindahan undi daripada BN kepada PH.

“Nampaknya sokongan Umno (kepada PH) pada PRK Simpang Jeram lebih signifikan berbanding pada pilihan raya enam negeri terdahulu,” kata Mazlan kepada FMT.

“Ini mungkin disebabkan pemahaman lebih baik (antara gabungan berkenaan), dan Umno masih mendapat sokongan kuat akar umbinya di Johor.”

Kedua-dua penganalisis itu berkata, corak pengundian itu menyangkal sebarang andaian bahawa penyokong Umno memboikot pakatan BN-PH.

Keadaan ini berlaku walaupun pengundi Umno sebelum ini memberikan sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN enam negeri 12 Ogos lepas.

“Pandangan bahawa akar umbi (Umno) menolak kerjasama itu tidak benar dalam konteks ini,” kata Awang Azman kepada FMT.

Mazlan dan Awang Azman berkata, PRK Simpang Jeram membuktikan bahawa kepimpinan Umno berjaya memjelaskan kerjasama BN dengan PH.

“Bagaimanapun, perlu ada usaha berterusan daripada BN dan PH untuk memberikan penjelasan kepada akar umbi masing-masing, menggandakan sokongan, dan membina momentum lebih besar untuk kerajaan perpaduan,” kata Awang Azman.

Sementara itu, Mazlan berkata, sokongan akar umbi BN kepada PH di Simpang Jeram akan memberikan dorongan untuk dua gabungan itu bekerjasama lebih erat dalam PRK Pelangai di Pahang bulan depan.

Bagaimanapun, Azmil Tayeb daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah di Simpang Jeram menyebabkan sukar untuk mencapai kesimpulan kukuh. Katanya, wujud kemungkinan penyokong BN tidak keluar mengundi.

“(Keputusan PRK) adalah hasil gabungan legasi Umno di Johor dan peratusan (keluar mengundi) penyokong BN yang rendah,” katanya kepada FMT.

Hanya 60.9% pengundi layak keluar mengundi di Simpang Jeram pada Sabtu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.

Azmil berkata, Umno juga masih perlu bekerja keras untuk meyakinkan pengundinya berikutan jumlah tidak keluar mengundi yang tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.