
Sulimah Gilong, 59, yang menghembuskan nafas terakhir pada April lepas, berdaftar sebagai penderma organ sejak 2015 dan hasrat murninya itu disempurnakan selepas mendapat persetujuan waris.
Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah (JKNS) Dr Asits Sanna berkata, Sulimah bertugas dengan Kementerian Kesihatan sejak 1989 dan tugas terakhirnya sebagai penyelia jururawat di wad perubatan am dan respiratori Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Asits berkata, Sulimah disifatkan sebagai seorang jururawat yang sangat berdedikasi, disenangi rakan sekerja, dan prihatin terhadap keperluan pesakit.
“Antara organ dan tisu didermakan termasuk sepasang buah pinggang, hati dan sepasang kornea,” katanya dalam kenyataan.
“Pendermaan telah menyelamatkan nyawa tiga pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan hati serta memberi sinar penglihatan kepada dua pesakit lain.”
JKNS merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga Sulimah yang menunaikan hasratnya untuk membantu individu memerlukan.
“JKNS menyeru orang ramai supaya menjadikan Sulimah Gilong sebagai inspirasi dan teladan, seorang jururawat menabur khidmat bakti semasa hayatnya dan terus berbudi setelah pemergiannya,” katanya.