Mahkamah Rayuan batal keputusan memihak aktivis berhubung penahanan salah, serangan

Mahkamah Rayuan batal keputusan memihak aktivis berhubung penahanan salah, serangan

Hakim Mahkamah Rayuan berpendapat Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika membuat keputusan berhubung saman R Sri Sanjeevan terhadap kerajaan.

R Sri Sanjeevan memfailkan saman terhadap kerajaan pada 2018, memohon deklarasi dan ganti rugi atas serangan dan penahanan salah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada bekas aktivis antijenayah yang menyaman kerajaan atas serangan dan penahanan salah.

Hakim Azimah Omar, yang menyampaikan alasan ringkas panel tiga hakim berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila bersandar kepada keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lepas ketika membuat keputusan berhubung saman R Sri Sanjeevan.

“Hakim Mahkamah Tinggi salah arah apabila menggunakan keputusan mahkamah tertinggi (M Nivesh Nair lwn Abdul Razak Musa) secara retrospektif dalam membuat keputusan pada 28 Jun tahun lepas,” kata Azimah.

Beliau berkata, kesilapan itu memerlukan campur tangan rayuan.

Katanya lagi, tidak adil untuk menghukum polis yang memohon perintah reman pada 2016, dan majistret yang membenarkan permohonan itu, kerana ia sah dan menepati perlembagaan pada masa itu.

Pada 25 April tahun lepas, menurut panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Seksyen 4 dan 15B Akta Pencegahan Jenayah (Poca) mengganggu domain kehakiman justeru melanggar doktrin pengasingan kuasa.

Nivesh, bersama empat individu lain, ditahan bawah Poca dan diperintah untuk ditahan tanpa bicara selama dua tahun di Simpang Renggam dan Bentong.

Mereka dibebaskan serta-merta berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Azimah juga berkata, Sanjeevan, bekas pengerusi Malaysian Crime Watch, sepatutnya memfailkan tuntutan berasingan untuk serang dan sentuh.

Rayuan itu didengar pada 21 Jun di hadapan panel yang dipengerusikan oleh Hakim S Nantha Balan. Turut mendengar rayuan, Hakim See Mee Chun.

Mahkamah juga menganugerahkan kos RM60,000 kepada kerajaan.

Sanjeevan ditahan pada 10 Julai 2016 kerana didakwa terlibat dalam kegiatan jenayah. Pada hari berikutnya, dia dihadapkan ke mahkamah dan majistret mengeluarkan perintah reman 21 hari mengikut Poca.

Dia memfailkan permohonan habeas corpus berhubung tangkapan yang menurutnya menyalahi undang-undang sebelum tempoh reman tamat.

Seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi memerintahkan pembebasan Sanjeevan pada 26 Julai 2016 disebabkan pelanggaran peruntukan Poca.

Sanjeevan memfailkan saman itu pada 2018, memohon deklarasi dan ganti rugi.

Beliau menamakan pegawai penyiasat Poonam E Keling, ketua polis negara dan kerajaan sebagai defendan.

Kerajaan dalam pembelaannya menafikan penahanan itu menyalahi undang-undang dan mendakwa serangan itu tidak berlaku.

Peguam S Preakas dan V Satchi mewakili Sanjeevan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Norfuzani Mohd Nordin mewakili kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.