Punca nahas Elmina dalam laporan akhir Ogos tahun depan

Punca nahas Elmina dalam laporan akhir Ogos tahun depan

Menurut laporan awal, aspek kesihatan juruterbang diketepikan memandangkan kedua-duanya sihat dan mendapat rehat yang cukup sebelum penerbangan.

Sebuah pesawat Beechcraft Premier 1 terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lepas dan laporan awal berhubung kejadian itu dikeluarkan hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Punca nahas pesawat ringan Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina, Selangor pada 17 Ogos lepas hanya akan diketahui dalam laporan akhir yang dijangka siap selewat-lewatnya pada Ogos tahun depan.

Kementerian Pengangkutan dalam laporan awal yang dikeluarkan pagi ini memaklumkan aspek kesihatan boleh diketepikan kerana kedua-dua juruterbang mendapat rehat yang cukup sebelum penerbangan dan tidak mengalami masalah kesihatan yang boleh mendatangkan bahaya, berdasarkan sejarah pemeriksaan fizikal.

Menurut kementerian, transkripsi awal rakaman suara kokpit (CVR) telah selesai dan analisis audio masih berjalan.

“Analisis awal rakaman CVR yang berjaya dipulihkan memberi petunjuk kritikal kepada pembongkaran punca nahas, dengan fokus pada sistem kawalan penerbangan pesawat.

“Hasil pemeriksaan bahagian pesawat dan komponen yang belum selesai di makmal OEM dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) adalah perlu untuk menyediakan bukti muktamad dalam menentukan punca kemalangan,” menurut laporan itu.

Kementerian berkata, transkrip rakaman suara kokpit akan dimasukkan dalam laporan akhir sekiranya penting untuk analisis dan pemahaman tentang kejadian itu.

Laporan akhir yang akan dikeluarkan nanti adalah berdasarkan rakaman suara selama 30 minit yang diperoleh daripada komponen “memory puck” dalam CVR pesawat berkenaan.

Pesawat persendirian itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Subang, dan diberi kebenaran mendarat pada 2.48 petang namun terhempas dua minit kemudian.

Nahas itu meragut 10 nyawa termasuk Exco Pahang Johari Harun serta dua pengguna jalan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.