Menteri digesa beri garis masa pelaksanaan akta sewa rumah

Menteri digesa beri garis masa pelaksanaan akta sewa rumah

Ahli Parlimen Bakri berkata Akta Penyewaan Rumah Kediaman amat penting dalam melindungi hak penyewa dan pemilik kediaman.

Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin minta menteri KPKT memberi garis masa bila kerajaan akan melaksanakan Akta Penyewaan Rumah Kediaman.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memberi garis masa bila Akta Penyewaan Rumah Kediaman akan dilaksana.

Tan Hong Pin (PH-Bakri) berkata, akta itu amat penting dalam melindungi hak penyewa dan pemilik kediaman.

“Saya minta menteri KPKT memberi garis masa, bilakah kerajaan akan melaksanakan Akta Penyewaan Rumah Kediaman di Malaysia,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).

Pada 29 Mac lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasir, berkata RUU Sewaan Kediaman yang akan mengawal selia hubungan pemilik kediaman dan penyewa serta mengimbangi hak kedua-dua pihak dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun depan.

Akmal berkata, RUU itu juga akan mewujudkan institusi penyelesaian pertikaian antara pihak terbabit dalam urus niaga sewaan kediaman.

Dalam pada itu, Tan berkata Akta Penyewaan Rumah Kediaman telah lama wujud di luar negara seperti Jerman, United Kingdom, Australia, Kanada dan New Zealand.

“Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan dan Rangka Kerja Analitis Data Raya (BDA) berkaitan perumahan telah disiapkan pada 2022 bagi membolehkan perkongsian data dalam kalangan agensi persekutuan dan negeri.

“Saya bercadang pangkalan data bersepadu ini juga perlu mewajibkan semua urusan sewa perlu membuat laporan ke sistem ini bawah Akta Penyewaan Rumah Kediaman supaya maklumat lengkap berkaitan pemilik rumah dan penyewa dapat dikutip,” katanya.

Katanya, cara itu akan membantu kerajaan memudah cara penggubalan dasar pasaran rumah mampu milik dan menetapkan harga siling penyewaan atau memberikan bantuan secara terus kepada penyewa terkesan berasaskan bukti dalam sistem pengurusan perumahan.

Menurutnya, tribunal berkenaan juga perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan pertikaian antara penyewa dan tuan rumah dengan kos rendah, cepat dan efektif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.